SHAH ALAM - Semua bot dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) mengambil kesempatan membaiki sebarang kerosakan termasuk bot yang dinaiki sukarelawan Malaysia, Zainal Rashid Ahmad atau lebih dikenali sebagai ZRA memandangkan Global Sumud Flotilla memilih berlabuh sehari di Grete, Greece pada hari kesembilan.
Zainal memberitahu, layar bot yang dinaikinya koyak kesan daripada stan grenade Israel pada serangan 24 September lalu.
Menurutnya, layar ini tidak boleh dibaiki segera.
"Sifat rukun bekerja, pelayar yang pakar dalam bidang khusus akan bergerak ke bot-bot bermasalah dan menawarkan bantuan.
"Seorang pelayar Norway yang dua kali mengelilingi dunia mencadangkan kaedah merendahkan layar kedua dan utamakan layar pertama.
"Dia memberitahu, tak ada masalah dalam cuaca sekarang, teruskan dengan cara layar rendah. Kita akan sampai ke Gaza," ujarnya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Tambahnya, semuanya bersatu demi menjayakan Global Sumud Flotilla ke Gaza.
"Hari yang indah, langit pun cerah. Manusia bersatu dalam rasa muhibbah," katanya.