Ekitike hilang RM2.8 juta akibat raikan gol keterlaluan

Iklan
Ekitike dilayangkan kad kuning kedua kerana membuka jersi ketika meraikan jaringan kemenangan lewat perlawanan. - Foto: AFP

LIVERPOOL dilaporkan bakal mengenakan denda dua minggu gaji terhadap Hugo Ekitike selepas penyerang itu dilayangkan kad merah ketika menentang Southampton dalam aksi Piala Liga baru-baru ini.

Ekitike dilayangkan kad kuning kedua kerana membuka jersi ketika meraikan jaringan kemenangan lewat perlawanan. Sebelum itu, dia sudah menerima kad kuning pertama selepas bertindak membaling bola kerana tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil, Thomas Brammall.

Iklan
Iklan

Insiden itu berlaku hanya 10 minit selepas Ekitike dimasukkan menggantikan Alexander Isak pada separuh masa pertama.

Kini, Isak dijangka akan kembali dalam kesebelasan utama Liga Perdana hujung minggu ini, sementara Ekitike menjalani penggantungan satu perlawanan ketika The Reds menentang Crystal Palace di Selhurst Park.

Iklan

Bagaimanapun, hukuman penggantungan itu dijangka bukan yang terakhir. Menurut laporan Daily Mail, Liverpool hampir pasti mendenda penyerang Perancis itu dengan pemotongan dua minggu gaji.

Ekitike yang dibawa masuk pada musim panas lalu dilaporkan Sky Sport Germany menerima gaji tahunan sekitar €15-16 juta bersamaan kira-kira £250,000 (RM1.4 juta) seminggu.

Iklan

Jurulatih Liverpool, Arne Slot nyata tidak berpuas hati dengan sikap tidak berdisiplin pemainnya itu. Dalam sidang media selepas perlawanan, Slot menyifatkan tindakan Ekitike sebagai 'tidak perlu dan bodoh'.

“Kad kuning pertama pun sudah tidak masuk akal kerana dia perlu kawal emosi. Saya tahu betapa sukarnya jadi penyerang nombor sembilan di Liga Perdana, tetapi mengawal diri adalah lebih baik.

“Kalau anda jaringkan gol final Liga Juara-Juara minit ke-87 selepas melepasi tiga pemain dan meledak jaringan cantik ke penjuru, mungkin saya boleh faham kalau anda meraikannya begitu.

“Tetapi dalam situasi ini, ia jelas tindakan tidak bijak. Anda boleh panggilnya bodoh, saya pun panggilnya bodoh,” tegas Slot.