KOTA KINABALU - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR mengadakan lawatan dua hari ke Sabah bermula hari ini.
Perdana Menteri dijadual tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada petang ini, sebelum memulakan lawatan berkenaan dengan menghadiri tiga Program Rapat Umum dan Himpunan Keadilan Sempena 27 Tahun Reformasi di Inanam di sini, Tawau dan Sandakan.
Program pertama dijadualkan berlangsung jam 3 petang di Dewan Pisompuruan, Kampung Kobuni, Inanam, diikuti program kedua pada jam 6.30 petang di Pusat Komuniti Desa, Merotai Besar, Tawau.
Perdana Menteri kemudiannya akan menghadiri program ketiga pada jam 9.30 malam bertempat di Dewan Yu Yuan, Sandakan, sekali gus mengakhiri siri program hari pertama lawatan beliau.
Esok, jadual Anwar bermula dengan menghadiri Majlis Sarapan Mesra Wira Samudera pada jam 8 pagi di Kompleks Kuarters Angkatan Tentera Malaysia, Taman Samudera, Sandakan.
Selepas itu pada jam 9.30 pagi, beliau akan menghadiri Majlis Jelajah Wira MADANI dan Sambutan Ulang Tahun Ke-20 Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Kompleks APMM Zon Maritim, Sandakan.
Perdana Menteri kemudian dijadual berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Batu Berendam, Melaka dari Sandakan, mengakhiri lawatan beliau ke Negeri di Bawah Bayu. - Bernama