SEREMBAN - Seorang anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan melepaskan satu das tembakan menggunakan senjata api tanpa sebab sah, awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd Izzat Fitri Mohd Hashim, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas kertas pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati tanpa sebab yang sah telah melepas satu das tembakan menggunakan senjata jenis Tara Aerospace TM-9C berwarna hitam.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira jam 2.30 pagi di sebuah gerai dekat Jalan BPS 2, Bandar Prima Senawang, Senawang, di sini, 8 September lalu.
Berikutan itu tertuduh telah didakwa melakukan suatu kesalahan di bawah Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 43 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Aqilah Syarfa Nik Zaidi menawarkan jaminan RM7,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin.
Peguam yang mewakili tertuduh memaklumkan anak guamnya seorang anggota polis dengan pendapatan RM1,700 sebulan dan menanggung ibu bapa yang uzur.
Menurutnya, anak guamnya yang juga seorang duda memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang siasatan serta tidak risiko untuk melarikan diri dan memohon ikat jamin yang paling minimum.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM2,500 dan tarikh sebutan semula pada 25 Februari tahun depan.