SHAH ALAM - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebagai agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) terus komited dalam memastikan akses kepada pendidikan tinggi dapat dinikmati oleh semua golongan masyarakat tanpa mengira latar belakang ekonomi.
Sehubungan itu, PTPTN telah membantu melalui pemberian Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM1,500 kepada setiap pelajar baharu yang layak, sebagai persiapan awal memasuki universiti awam (UA) dan politeknik sekali gus meringankan beban kewangan dan menjaga kebajikan pelajar.
WPP tersebut diberikan kepada pelajar warganegara Malaysia yang telah memberikan persetujuan menerima WPP semasa membuat permohonan kemasukan institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) melalui UPUOnline atau melalui portal kemasukan UA.
Selain itu, syarat lain pemberian WPP adalah ibu bapa atau penjaga pelajar merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan memenuhi kriteria kelayakan yang telah ditetapkan.
Mengulas lanjut, Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata, PTPTN sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar, khususnya ketika mereka memulakan pengajian ke menara gading.
“Kemudahan WPP yang disediakan ini adalah bukti keprihatinan kerajaan melalui PTPTN dalam membantu meringankan beban kewangan pelajar di peringkat awal pengajian.
“Kami mahu setiap pelajar dapat memulakan sesi pengajian mereka dengan lebih yakin dan selesa tanpa perlu bimbang terhadap kos pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir menyantuni pelajar yang ditawarkan WPP melalui sesi ziarah rumah di kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang bersama Pengarah Negeri Pejabat PTPTN Negeri Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman baru-baru ini.
Norliza berkata, seramai 1,380 pelajar ditawarkan WPP di negeri Pulau Pinang dengan peruntukan berjumlah RM2.07 juta manakala bagi kawasan Bukit Gelugor pula, seramai 88 pelajar telah ditawarkan WPP melibatkan peruntukan berjumlah RM132,000.
“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. Anda adalah harapan masa depan negara.
“Semoga bantuan ini meringankan langkah anda untuk menimba ilmu dan melahirkan graduan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.
“PTPTN akan terus bersama anda dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada pendidikan tinggi kerana kekangan kewangan,” tambah beliau lagi.
Semenjak WPP diperkenalkan pada tahun 1999 hingga 31 Ogos 2025, seramai 990,646 pelajar telah menerima manfaat berkenaan dengan peruntukan berjumlah RM1.46 bilion.
Bagi kemasukan pelajar peringkat ijazah sarjana muda ke UA dan politeknik sesi Oktober ini, seramai 27,674 orang pelajar telah ditawarkan WPP yang melibatkan peruntukan berjumlah RM41.5 juta.
Pelajar boleh membuat semakan tawaran WPP melalui aplikasi myPTPTN dan boleh menunaikan WPP tersebut di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara mulai 24 September lalu.
Pelajar hanya perlu membawa bersama surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN dan juga MyKad pelajar (wakil adalah tidak dibenarkan). Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 September lalu hingga 23 November nanti.
Untuk makluman, para pelajar boleh membuat permohonan pinjaman PTPTN secara dalam talian melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh permohonan yang ditetapkan bagi setiap UA dan politeknik untuk memastikan pinjaman dapat diproses dan diluluskan sewajarnya.
Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN perlu mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) yang boleh dibuka melalui aplikasi myPTPTN.
Para pelajar boleh merujuk kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar UA dan politeknik masing-masing atau terus menghubungi PTPTN sekiranya terdapat sebarang pertanyaan.
Maklumat lanjut berkenaan WPP PTPTN dan pinjaman PTPTN juga boleh diperoleh melalui aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.