BUDI95: Langkah berani bela warga tempatan

Iklan
Kerajaan akhirnya melaksanakan langkah berani yang mencabar iaitu subsidi bersasar untuk petrol.

KERAJAAN akhirnya melaksanakan langkah berani yang mencabar iaitu subsidi bersasar untuk petrol.

Selama ini subsidi menyeluruh memberi manfaat kepada semua pihak, termasuk warga asing dan golongan berpendapatan tinggi, sedangkan hakikatnya ia dicipta untuk meringankan beban rakyat tempatan, khususnya golongan sederhana dan berpendapatan rendah.

Iklan
Iklan

Subsidi bersasar adalah satu keputusan yang tepat pada masanya. Langkah ini memastikan wang rakyat kembali kepada rakyat, bukan dinikmati oleh mereka yang sebenarnya tidak layak.

Dengan kaedah ini, kerajaan bukan sahaja menjimatkan perbelanjaan negara, malah dapat mengagihkan semula dana untuk pembangunan dan kebajikan yang lebih lestari.

Iklan

Apa yang dilakukan ini menuntut keberanian politik yang besar. Mudah untuk berjanji mengekalkan subsidi pukal demi meraih sokongan, tetapi lebih sukar untuk mengambil keputusan yang tepat walaupun pahit demi masa depan negara. Inilah keberanian yang perlu dipuji, iaitu keberanian mendahulukan rakyat tempatan.

Kita yakin, jika dilaksanakan dengan telus dan adil, subsidi bersasar akan kurangkan ketirisan serta menutup ruang penyalahgunaan. Yang betul-betul layak akan menerima, yang tidak layak tidak lagi menikmati keistimewaan atas nama subsidi.

Iklan

Namun, dalam masa yang sama, kerajaan perlu memastikan mekanisme pelaksanaan berjalan lancar. Data penerima mestilah tepat, sistem pembayaran hendaklah telus, dan sebarang aduan daripada rakyat wajib ditangani segera. Kelemahan dari segi pengurusan hanya akan mengundang keresahan serta menjejaskan keyakinan rakyat terhadap dasar ini.

Di pihak rakyat pula harus memahami bahawa ini adalah sebahagian daripada proses pembaharuan ekonomi negara. Jika ada sebarang ketidaklancaran pada peringkat awalnya, perlulah bersabar seketika kerana ia demi masa depan dan tanpa pembaharuan ini negara akan rugi berbilion ringgit setiap tahun. Wang penjimatan subsidi pula boleh disalurkan kepada pendidikan, kesihatan, keselamatan, malah untuk membina lebih banyak peluang pekerjaan.

Akhirnya, rakyat mesti memberi peluang kepada kerajaan untuk membuktikan bahawa subsidi bersasar benar-benar membawa manfaat. Kesabaran dan sokongan masyarakat amat diperlukan kerana kejayaan dasar ini bukan sahaja meringankan beban rakyat hari ini, tetapi juga menjamin kestabilan ekonomi negara pada masa hadapan.