MELAKA – Kegembiraan tiga kanak-kanak bermandi-manda di Pantai Puteri di sini pada petang Rabu bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, Mohd Azrill Dis Abdul Hai, Mohd Zakuan Nazran dan Mohd Wafiy Adrian Zafran Mohd Ridzuan, yang kesemuanya berusia 12 tahun, dipercayai datang ke pantai itu dengan menaiki basikal sebelum Mohd Wafiy Adrian Zafran ditemui lemas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Kanan Bomba II Mohd Shahrom Laji berkata, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) tiba di lokasi kejadian pada jam 6.44 petang selepas menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu.
Menurutnya, sebaik tiba, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaksanakan dengan kekuatan 44 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Kementerian Kesihatan (KKM), Rela serta bantuan nelayan tempatan.
“Operasi bermula dengan pencarian menggunakan bot nelayan sebelum pasukan penyelam Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Melaka Tengah menjalankan dua selaman dalam radius 15 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
“Namun, pencarian berdepan cabaran kerana penglihatan terhad pada waktu malam dan arus deras. Pada jam 9 malam, kita berbincang bersama agensi terlibat dan menggunakan kaedah pukat tunda dengan bantuan nelayan.
“Alhamdulillah, pada jam 9.40 malam, mangsa ditemui kira-kira 150 meter dari tebing dan 1.5 meter dari pantai sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.
Tambahnya, mayat kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk tindakan selanjutnya dan proses bedah siasat.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang dikhuatiri lemas manakala dua lagi terselamat ketika mandi-manda di Pantai Puteri, Tanjung Kling, pada Rabu.
Kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 6.30 petang.