GEORGE TOWN – Seekor ular tedung selar seberat kira-kira 20 kilogram berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) selepas ditemui bersembunyi di bawah sebuah almari lama di sebuah rumah di Jalan Sungai Batu di sini pada petang Rabu.
Pegawai Pasukan Pertahanan Awam Daerah Barat Daya, Leftenan Muda (PA) Muhamad Fitri Kamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 5.20 petang sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi.
“Seramai enam anggota termasuk seorang pegawai tiba di lokasi pada jam 5.35 petang dan mendapati seekor ular tedung selar berada di bawah sebuah almari lama.
“Ketika itu, terdapat orang awam serta penduduk kampung berada berhampiran kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, ular tedung selar berkenaan dianggarkan sepanjang 4.5 meter dengan berat sekitar 20 kilogram sebelum berjaya ditangkap.
“Setelah cubaan selama 20 minit, kita berjaya menangkap reptilia itu dengan menggunakan peralatan khas.
“Ular berkenaan kemudiannya dibawa ke Pejabat Daerah Operasi (PKOD) Barat Daya untuk tindakan lanjut,” ujarnya.