Pemandu lori, pemilik perniagaan didenda RM19,000 miliki diesel tanpa lesen

Iklan
Seorang pemandu lori dan seorang pemilik perniagaan masing-masing didenda RM19,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh kerana memiliki diesel tanpa lesen pada tahun lalu. Foto Bernama

IPOH - Seorang pemandu lori dan seorang pemilik perniagaan masing-masing didenda RM19,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu kerana memiliki barang kawalan berjadual iaitu diesel tanpa lesen pada tahun lalu.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu ke atas Liew Yow Lee, 36, dan Phang Yiew Miew, 39 setelah kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, pada 22 Februari 2024 sekitar jam 12.29 tengah hari didapati secara bersama memiliki 3,261 liter diesel di sebuah stor penyimpanan minyak di kawasan Perindustrian International IGB di sini.

Diesel yang disimpan dalam tangki IBC dan sebuah lori itu menimbulkan syak munasabah untuk digunakan bagi tujuan perniagaan, sama ada secara runcit atau borong, tanpa lesen yang sah.

Iklan

Kedua-duanya didakwa melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang merupakan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Iklan

Peguam kedua-dua tertuduh, Mohd Khairul Fairuz Rahman, memohon hukuman denda minimum dengan alasan mereka telah berkahwin, mempunyai tanggungan anak-anak serta menjaga ibu bapa yang uzur dan berpenyakit.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nazreen Zabarudin memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh serta selaras dengan usaha kerajaan membendung ketirisan penjualan barang kawalan bersubsidi.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM19,000 ke atas setiap tertuduh serta penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut, manakala lori yang terlibat diarahkan dipulangkan kepada pemilik berdaftar. - Bernama