KPT tanggung sepenuhnya yuran pengajian Putera Iman di UUM

Iklan
Kisah Putera Iman yang juga anak tunggal yatim piatu tular apabila gambarnya hadir seorang diri mendaftar sebagai mahasiswa baharu UUM dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi universiti berkenaan.

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan menanggung sepenuhnya yuran pengajian penuntut baharu Universiti Utara Malaysia (UUM), Putera Iman Shah Shahiran sehingga tamat pengajian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Kadir berkata, menerusi program SULUNG, Putera Iman,19, turut akan menerima kemudahan lain termasuk komputer riba serta wang saku bulanan sepanjang tempoh pengajian.

Iklan
Iklan

“Pagi tadi sebelum bermulanya mesyuarat Kabinet, saya sempat mengadakan panggilan video bersama adik Putera yang baru sahaja mendaftar di UUM. Kisah adik Putera benar-benar menyentuh hati kerana pada usia yang masih muda, beliau telah kehilangan kedua ibu bapa, namun tetap hadir mendaftar sebagai mahasiswa baharu,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata, pihak UUM segera mengambil tindakan membantu Putera dalam urusan pendaftaran selepas menerima maklumat mengenai keadaannya.

Iklan

“Saya turut menitipkan pesanan kepada beliau agar terus kuat semangat, belajar bersungguh-sungguh dan insya-ALLAH menjadi seorang yang berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Kisah Putera Iman yang juga anak tunggal yatim piatu tular apabila gambarnya hadir seorang diri mendaftar sebagai mahasiswa baharu UUM dimuat naik menerusi laman Facebook rasmi universiti berkenaan.

Iklan

Putera Iman kehilangan ibu sejak beliau berumur 13 tahun manakala bapanya meninggal dunia beberapa minggu sebelum dia mendaftarkan diri ke universiti.

Namun kehadirannya disambut mesra kakitangan UUM ketika dia tiba di Stesen Keretapi Arau, Perlis pada jam 12.15 tengah hari Selasa.

Zambry berkata, pihaknya mahu memastikan Putera Iman dapat menamatkan pengajian dengan baik dan tidak dibebani masalah kewangan sepanjang berada di universiti.

“UUM akan pastikan tempat tinggal, kemudahan komputer dan keperluan lain mencukupi. Kita juga akan bantu melengkapkan apa sahaja keperluan sepanjang pengajian,” katanya dalam panggilan tersebut.

Malah, katanya, pihak kementerian sedia memudahkan sebarang urusan sekiranya pelajar lain turut berdepan kesulitan supaya mereka dapat meneruskan pengajian tanpa halangan.

“Yang penting, belajar dengan tekun dan apabila berjaya kelak, kembalilah menyumbang kepada masyarakat serta negara,” katanya.

Zambry turut merakam penghargaan kepada Naib Canselor Profesor Dr Mohd Fo’ad Sakdan dan pasukan UUM yang disifatkan sentiasa komited menjaga kebajikan pelajar.

“Tahniah kepada adik Putera. Kisah anda adalah sumber inspirasi kepada kita semua,” katanya.