LARUT - Seorang lelaki terjatuh dari pokok setinggi kira-kira 30 meter ketika mengambil petai di Jalan Bukit Balai Raja Gunung, Kampung Perak di sini pada Rabu.
Panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Kurau pada jam 11.34 pagi melibatkan mangsa berusia 48 tahun.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, setibanya di kaki bukit, ketua operasi bersama anggota perlu berjalan kaki sejauh satu kilometer untuk sampai ke tempat mangsa.
“Pada jam 12 tengah hari, pasukan tiba di lokasi dan mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat terjatuh dari pokok," katanya dalam kenyataan di sini.
Menurut beliau, pasukan bomba memberikan rawatan awal sebelum membawa mangsa turun menggunakan pengusung.
Katanya, mangsa berjaya dibawa turun ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.
"Operasi melibatkan enam anggota dengan bantuan dua jentera itu tamat sepenuhnya pada jam 1.27 petang," katanya.