Inkues Zara Qairina: Saksi kanak-kanak ketiga dijangka beri keterangan petang ini

Iklan
Ram ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU – Saksi kanak-kanak ketiga dalam inkues kematian Zara Qairina Mahathir dijangka memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada petang Rabu.

Saksi itu akan tampil selepas prosiding membabitkan saksi kanak-kanak kedua selesai di mahkamah sama.

Iklan
Iklan

Peguam yang mewakili salah seorang daripada lima remaja yang didakwa berkaitan kes Zara Qairina, Datuk Ram Singh berkata, saksi kedua setakat ini memberi keterangan dalam keadaan baik.

Menurutnya, prosiding sesi pagi mengambil masa panjang kerana melibatkan pasukan peguam daripada pihak ibu dan bapa Zara Qairina.

Iklan

"Panjang juga (prosiding), mengambil masa beberapa jam. Selepas giliran peguam ibu Zara, peguam bapa Zara pula untuk menyoal.

"Kami jangkakan saksi ini dapat diselesaikan keterangannya sebelum petang dan selepas itu kita akan mula dengan seorang lagi saksi, juga saksi kanak-kanak,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Iklan

Mengulas lanjut, Ram berkata, pegawai pengendali inkues telah menyediakan dua lagi saksi untuk sesi hari ini, namun kemungkinan hanya seorang sempat dipanggil.

"Prosiding akan bersambung pada jam 2 petang dengan seorang lagi saksi disediakan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan prosiding pengurusan kes melibatkan lima remaja yang didakwa, termasuk seorang anak guamnya, akan berlangsung pada Khamis di Mahkamah Kanak-Kanak.

"Esok pula ada sebutan kes di Mahkamah Kanak-Kanak pada jam 9 pagi untuk sebutan semula kes tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, prosiding itu dijalankan secara tertutup susulan perintah larangan (gag order) yang menghalang sebarang pendedahan berhubung perjalanan kes pendakwaan lima remaja perempuan terbabit.

Sebelum itu, pasukan peguam tersebut turut disertai Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan.