[VIDEO] Bapa dua anak didakwa bunuh isteri, lelaki di Guar Chempedak

Iklan

GURUN - Seorang bapa kepada dua anak dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini atas dua pertuduhan membunuh isteri dan seorang lelaki dalam kejadian di Taman Nona, Guar Chempedak kira-kira dua minggu lalu.

Tertuduh, Syed Al Iqbal Syed Shahruddin, 30, yang bekerja di sektor swasta didakwa menyebabkan kematian Nurul Nur Syamira Khamis, 28, dan Ku Mohd Asraf Ku Shaif @ Ku Shuib, 30.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Ku Mohd Asraf, manakala pertuduhan kedua pula menyebabkan kematian Nurul Nur Syamira.

Kedua-dua perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Taman Nona, Guar Chempedak, antara jam 9 hingga 10 malam pada 11 September lalu.

Iklan

Kesalahan berkenaan boleh dihukum mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.

Tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Gurun.

Iklan

Jika tidak dijatuhkan hukuman mati, pesalah boleh dikenakan penjara minimum 30 tahun hingga maksimum 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nurhazirah Tuan Yahya, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim, Diyana Ibrahim dan Shameer Haziq Shaharuddin.

Tertuduh mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan, namun tiada jaminan ditawarkan.

Abdul Hayyi bagaimanapun memohon agar anak guamnya ditempatkan di Penjara Marang, Terengganu bagi memudahkan lawatan keluarga yang kini menjaga dua anak tertuduh berusia tiga dan enam tahun.

Namun, Majistret Anis Suraya Ahmad menjelaskan penempatan tertuduh adalah di bawah bidang kuasa Jabatan Penjara Malaysia.

Mahkamah menetapkan 21 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki dan wanita ditemukan maut dengan kesan tikaman di badan, dipercayai dibunuh dalam kejadian di Taman Nona.

Mangsa wanita ditemukan dalam sebuah kereta Proton Wira di hadapan rumah, manakala mangsa lelaki ditemukan di atas jalan dengan beberapa kesan tikaman, kira-kira tujuh meter dari lokasi kereta tersebut.