Remaja selamat 'terbang' walaupun berada di ruang gear pesawat

Iklan
Remaja itu selamat menempuh perjalanan selama dua jam.Foto Agensi

KABUL - Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun dari Afghanistan mengejutkan pihak berkuasa apabila tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Delhi selepas menyelinap masuk dan bersembunyi di ruang gear sebuah pesawat penumpang semasa di Lapangan Terbang Kabul.

Menurut laporan Times of India (TOI) pada Selasa, remaja yang berasal dari wilayah Kunduz, utara Afghanistan itu, menyelinap ke lapangan terbang pada pagi 21 September sebelum bersembunyi di ruang gear pesawat Kam Air dengan nombor penerbangan RQ-4401 yang sedang bersiap sedia berlepas menuju ke Delhi.

Iklan
Iklan

Pesawat berkenaan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi di Delhi kira-kira dua jam kemudian.

Remaja terbabit keluar dari ruang gear sejurus pesawat tiba dan ditemui berkeliaran berhampiran pesawat sekitar jam 11 pagi waktu tempatan oleh pihak berkuasa lapangan terbang sebelum dibawa untuk disoal siasat.

Iklan

Ketika siasatan, dia dilaporkan mengaku bertindak demikian kerana rasa ingin tahu.

Pasukan keselamatan Kam Air kemudiannya melakukan pemeriksaan keselamatan ke atas pesawat tersebut dan menemui sebuah pembesar suara kecil berwarna merah yang dipercayai milik remaja itu di ruang gear.

Iklan

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut mengesahkan tiada ancaman keselamatan terhadap pesawat berkenaan.

Selepas siasatan selesai, remaja itu dihantar pulang ke Kabul melalui penerbangan sama sekitar jam 12.30 tengah hari waktu tempatan pada hari kejadian.

Insiden berani mati itu mencuri perhatian ramai di media sosial. Seorang pengguna internet menyifatkannya sebagai satu keajaiban kerana ruang gear akan terbuka semasa pendaratan yang boleh menyebabkan mangsa tercampak keluar.

Seorang lagi melahirkan rasa terkejut bagaimana remaja itu mampu bertahan dalam hembusan angin kencang dan suhu mencecah -20 darjah Celsius sepanjang penerbangan, malah ada yang memuji keberaniannya.

Namun, ada juga yang mengecam tindakan pihak berkuasa India kerana tidak menawarkan suaka kepada remaja berkenaan.

“Semua orang tahu Afghanistan bukan kawasan nyaman bagi wanita dan kanak-kanak, tetapi tiada siapa mencadangkan agar remaja itu diberi perlindungan. Ini adalah satu penghinaan kepada negara kita (India),” kata seorang lagi netizen.-Agensi