SHAH ALAM – Seorang usahawan kek tidak menyangka insiden mencuit hati apabila anaknya secara tidak sengaja menjual kek hasil buatannya secara percuma, akhirnya tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai.
Nurul Izzah Abdul Halim, 31, berkata, kejadian berlaku pada Sabtu lalu selepas dia menyiapkan tempahan kek untuk dihantar ke vendor, namun urusan itu tertangguh kerana cuaca buruk.
“Siap sahaja kek, terus masukkan dalam kereta, tetapi saya cari kunci tidak jumpa-jumpa, sampai 30 minit baru dapat. Bila tengok angin kuat, saya yakin ribut nak datang, jadi saya tidak hantar.
“Pada masa sama, saya turut menyiapkan manisan Dalgona Candy untuk dijual pada harga RM2 sebiji, namun sempat berpesan kepada anak agar menjual pada harga RM1 kerana hasilnya tidak begitu menjadi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Bagaimanapun, tanpa disangka, anaknya tersilap dan menjual kek tapak kuda yang sepatutnya dijual RM5 sebiji secara percuma.
“Keesokan harinya, ada pelanggan datang bertanya, ‘Acik sini ada jual kek tapak kuda ke? Ingatkan seringgit sahaja’. Masa itu barulah saya tahu rupa-rupanya anak jual kek saya RM1, tetapi sebenarnya diberikan percuma,” ujarnya.
Nurul Izzah berkata, ada yang menyangka kisah tersebut hanyalah strategi pemasaran.
“Ya, memang ini ‘marketing’. Kalau orang bisnes tidak bercerita apa yang berlaku, orang tidak pandang ‘post’ kami. Tapi nak minta simpati, itu memang tidak,” jelasnya.
Menurutnya, kek tapak kudanya dijual pada harga RM5 sebiji, dibuat segar setiap hari dan sudah beberapa kali mencuri perhatian pelanggan di sekitar Semenyih.
Kini, Nurul Izzah hanya menjalankan perniagaan dari rumah kerana perlu menjaga dua anaknya.
“Selepas tular, ada seorang individu yang menghubungi saya dan membayar semua kek yang telah dijual anak secara percuma itu.
“Alhamdulillah, rezeki semua. Budak-budak dapat makan kek, saya dapat duit manakala individu berkenaan dapat pahala.
“Ada lebihan duit daripada itu, insya-ALLAH saya akan infaqkan kek kepada rumah anak-anak yatim atau maahad tahfiz nanti,” katanya yang berniaga kek dengan jenama Izady Cake sejak hampir lima tahun lalu.