SHAH ALAM – Masyarakat komuniti Klang memaparkan semangat perpaduan dan keprihatinan tinggi apabila hadir menjayakan kempen derma darah anjuran Kumpulan Acmar di AEON Mall, Bukit Raja pada Ahad.
Kumpulan Acmar dalam kenyataannya berkata, program yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 3 petang itu mendapat kerjasama Klang Executive Club, Persatuan Jaksa Pendamai (JP) Klang, Rotary Club Klang dan AEON Mall dengan mengetengahkan tema ‘Kongsi Darah Anda, Selamatkan Nyawa’.
“Kempen ini selaras dengan falsafah Kumpulan Acmar iaitu Membina Legasi, Berkhidmat kepada Masyarakat.
“Sempena ulang tahun ke-46 sejak penubuhannya pada tahun 1979, Kumpulan Acmar terus memperjuangkan inisiatif yang memperkasa komuniti dan menyokong pembangunan negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Majlis tersebut turut dihadiri Presiden Persatuan JP Selangor, Datuk Ng Seing Liong; Presiden Persatuan JP Klang, Datuk Thong Thong Young Koon; dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Acmar, Johnson Tee.
Menurut Kumpulan Acmar, inisiatif kempen itu turut menerima sokongan padu daripada penduduk Klang, sukarelawan dan pemimpin masyarakat, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan kumpulan berkenaan terhadap khidmat awam serta pembangunan negara.
“Pihak penganjur mengucapkan terima kasih kepada semua penderma, sukarelawan dan rakan kerjasama yang menjayakan acara ini,” ujarnya.