KEJAYAAN membenam cabaran Sabah FC, 8-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad, disifatkan sebagai kemenangan yang cukup bermakna buat skuad Johor Darul Ta’zim (JDT).
Menurut pengendali Xisco Munoz, kemenangan itu juga menyaksikan kesemua pemain telah mempamerkan aksi yang menakjubkan di sepanjang perlawanan bagi menghasilkan kemenangan berkenaan.
“Saya bersetuju bahawa kesemua pemain telah beraksi dengan baik terutamanya di sepanjang babak pertama.
“Bila menyerang, pemain dilihat melakukan transisi dengan baik selain mendominasi bahagian tengah bagi melancarkan asakan-asakan ke gawang lawan.
“Oleh itu, kami mahu meneruskan momentum seperti ini pada masa akan datang bagi menghasilkan lebih banyak kejayaan,” katanya.
Kemenangan berkenaan sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan itu terus mendominasi carta Liga Super dengan 15 mata setelah mengharungi enam perlawanan setakat ini.
Tambah Munoz, kesemua pemain dilihat telah memberikan aksi 100 peratus bagi menghasilkan kemenangan berkenaan.
“Sepanjang perlawanan ini dapat dilihat pemain telah memberikan komitmen 100 peratus dan kekal fokus,” katanya.
Sementara itu, Munoz menyifatkan kejayaan Bergson da Silva muncul penjaring terbanyak liga sepanjang zaman selepas merekodkan 109 jaringan bagi memadam rekod Indra Putra Mahayuddin, sebagai pencapaian luar jangkaan.
Bagaimanapun katanya, sekiranya pemain kelahiran Brazil itu mampu mengekalkan momentum menjaringkan gol, mungkin dia mampu meledak 100 gol lagi.
"Kami berbangga memiliki pemain seperti Bergson dan bukan mudah untuk mencapai tahap sebegitu kerana semuanya memerlukan pengorbanan dan kami mahu dia terus dahagakan jaringan pada musim ini," katanya.