PUTRAJAYA - Sistem kepada Program Budi Madani RON95 (BUDI 95) hanya dibuka kepada warganegara Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas dan memiliki lesen memandu sah sahaja.
Tegas Kementerian Kewangan (MoF), sekiranya hanya warga tempatan tetapi tidak memiliki lesen sah, individu berkenaan tidak layak menikmati kadar subsidi RON95 pada harga RM1.99 seliter.
"Tidak. Mesti ada lesen memandu yang sah dan aktif," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula Selasa depan.
Bagaimanapun mekanisma pelaksanaan dijalankan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan dan menguji sistem sebelum dibuka sepenuhnya kepada lebih 16 juta pengguna yang layak.
Bermula Sabtu ini, anggota polis dan tentera menjadi kumpulan pertama menikmati harga baharu sebagai langkah percubaan.
Golongan B40 dan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pula akan menerima manfaat pada 28 September sebelum dibuka kepada semua warganegara pada 30 September.
Bagi golongan yang tidak layak, seperti bukan warganegara, mereka akan membeli RON95 pada harga yang akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan pada tahap tanpa subsidi, dianggarkan sekitar RM2.60 seliter.