RM41.5 juta WPP disalur kepada 27,674 pelajar UA, Politeknik

Iklan
Norliza (dua dari kanan) menyerahkan menyempurnakan simbolik penyerahan WPP berjumlah RM1,500 kepada pelajar ketika sesi ziarah rumah ke rumah.

KUALA LUMPUR – Seramai 27,674 pelajar baharu Ijazah Sarjana Muda yang akan melanjutkan pengajian ke Universiti Awam (UA) dan Politeknik bagi sesi Oktober ini ditawarkan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) berjumlah RM41.5 juta oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, kemudahan itu adalah usaha berterusan untuk memastikan akses pendidikan tinggi dapat dinikmati semua golongan tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Iklan
Iklan

“Setiap pelajar baharu yang layak akan menerima WPP berjumlah RM1,500 sebagai persiapan awal sebelum melangkah ke menara gading.

“WPP diberikan kepada warganegara Malaysia yang bersetuju menerima bantuan itu semasa membuat permohonan kemasukan institut pengajian tinggi awam (IPTA) melalui UPUOnline atau portal rasmi UA.

Iklan

“Ibu bapa atau penjaga pelajar juga perlu merupakan penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta memenuhi kriteria kelayakan yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.

Norliza (kanan) menyantuni pelajar yang menerima WPP semasa sesi ziarah rumah ke rumah di kawasan Bukit Gelugor, Pulau Pinang.

Iklan

PTPTN memaklumkan, sejak skim itu diperkenalkan pada 1999 hingga 31 Ogos 2025, seramai 990,646 pelajar telah menerima manfaat dengan jumlah peruntukan mencecah RM1.46 bilion.

Menurut PTPTN, bagi sesi kali ini, pelajar yang layak boleh membuat semakan tawaran melalui aplikasi myPTPTN dan menunaikannya di kaunter Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) di seluruh negara bermula 24 September 2025.

“Pelajar hanya perlu membawa surat tawaran WPP yang dicetak melalui aplikasi myPTPTN serta MyKad ketika membuat urusan, manakala wakil tidak dibenarkan.

“Tempoh sah laku WPP adalah selama dua bulan iaitu mulai 24 September hingga 23 November 2025.” menurut PTPTN.

Dalam pada itu, PTPTN turut mengadakan sesi ziarah rumah ke rumah di Bukit Gelugor, Pulau Pinang pada 18 September lalu untuk menyantuni pelajar yang menerima tawaran.

Penyampaian surat tawaran disempurnakan oleh Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim bersama Pengarah Negeri PTPTN Pulau Pinang, Muhammad Muhsin Abdul Rahman.

Menurut Norliza, PTPTN sentiasa mengambil berat tentang kebajikan pelajar, khususnya ketika mereka memulakan pengajian. Kemudahan WPP ini adalah bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu meringankan beban kewangan di peringkat awal pengajian.

“Kami mahu setiap pelajar dapat memulakan sesi pengajian mereka dengan lebih yakin dan selesa tanpa perlu bimbang terhadap kos pengajian,” katanya.

Beliau berkata, di Pulau Pinang sahaja seramai 1,380 pelajar menerima WPP dengan peruntukan RM2.07 juta, manakala di kawasan Bukit Gelugor pula 88 pelajar ditawarkan WPP berjumlah RM132,000.

“Syabas dan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi. Anda adalah harapan masa depan negara.

“Semoga bantuan ini meringankan langkah anda untuk menimba ilmu dan melahirkan graduan berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara. PTPTN akan terus bersama anda dalam memastikan tiada pelajar yang tercicir daripada pendidikan tinggi kerana kekangan kewangan,” jelasnya,

Dalam pada itu, PTPTN turut menasihatkan pelajar supaya membuat permohonan pinjaman melalui aplikasi myPTPTN mengikut tarikh yang ditetapkan UA dan Politeknik bagi memastikan kelulusan diproses sewajarnya.

Pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN juga perlu mempunyai akaun Simpan SSPN yang boleh dibuka melalui aplikasi sama.