SKUAD Johor Darul Ta'zim (JDT) terus mengukuhkan cengkaman mereka di puncak Liga Super selepas mencatat kemenangan besar 8-0 ke atas Sabah FC dalam aksi di Stadium Sultan Ibrahim, pada Ahad.
Perlawanan berkenaan turut mencipta rekod baharu jaringan liga apabila Bergson Da Silva meledak hatrik sekali gus merekodkan 109 gol, bersama Joao Figueiredo yang turut menjaringkan tiga gol dalam aksi tersebut.
JDT bermula garang sebaik wisel permulaan dengan mengasak kubu pelawat dalam usaha mencari jaringan awal.
Skuad Harimau Selatan hampir membuka tirai jaringan seawal minit ketiga, namun tandukan Eddy Israfilov berjaya ditepis penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat.
Bagaimanapun, minit kelima menyaksikan Oscar Arribas membuka jaringan selepas menerima hantaran cantik daripada Joao Figueiredo.
Pada minit ke-11, giliran Arribas pula melorongkan bola kepada Figueiredo yang mudah menyempurnakan gol kedua JDT.
Biarpun selesa mendahului, JDT terus melancarkan serangan demi serangan untuk menambah jaringan.
Figueiredo kemudiannya meledak gol ketiga JDT pada minit ke-23 sebelum pemain import, Raul Parra, menjaringkan gol keempat.
Figueiredo menutup babak pertama dengan hatriknya pada masa kecederaan untuk meletakkan JDT 5-0 di hadapan.
Pada separuh masa kedua, JDT terus mendominasi perlawanan dan Bergson Da Silva mencatat nama sebagai penjaring selepas menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-61.
Jaringan itu membolehkan Bergson melakar rekod baharu saingan liga dengan 107 gol, sekali gus memadam rekod 106 gol milik bekas penyerang kebangsaan, Indra Putra Mahayuddin.
Bergson menambah gol kedua peribadi pada minit ke-74 hasil tandukan kemas daripada sepakan sudut, sebelum melengkapkan hatrik pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bergaya 8-0, selain mencatat gol ke-109 dalam karier Liga Super.
Kemenangan itu menyaksikan JDT terus unggul di puncak liga dengan 18 mata selepas enam perlawanan, manakala Sabah FC kekal di tangga ke-10 dengan tiga mata selepas empat aksi.