SERDANG – Seramai 75 individu ditahan kerana disyaki menceroboh kawasan Hutan Simpan Ayer Itam Puchong di sini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, 75 individu itu ditahan kerana memasuki kawasan hutan simpan kekal dari Bukit Wawasan Puchong tanpa permit di bawah Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan 1985.
Iklan
Iklan
"Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk tindakan lanjut sebelum dibebaskan dengan jaminan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Muhamad Farid berkata, operasi penguatkuasan yang dijalankan pada jam 11 pagi itu melibatkan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor.
"Kes disiasat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1985 kerana memasuki hutan simpan kekal tanpa kebenaran," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang awam agar tidak memasuki hutan itu untuk tujuan riadah kerana kawasan berkenaan disimpan khas bagi pembelajaran dan penyelidikan bahagian perhutanan Universiti Putra Malaysia.
“Hanya Trek Hutan 1 sepanjang 2.8 kilometer yang bermula dan tamat di kaki Bukit Wawasan, Pusat Bandar Puchong dibuka kepada orang awam seperti diputuskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2012,” katanya.