Nuri biru diisytihar pupus ditemui di zoo keluarga bilionair Ambani

Iklan
26 ekor burung berkenaan kini dilaporkan ditempatkan di pusat pemuliharaan haiwan Vantara, India.

NEW DELHI – Burung nuri biru (Spix’s macaw) yang pernah diisytiharkan pupus di habitat asalnya kini mencetuskan pertikaian antarabangsa selepas 26 ekor burung berkenaan dilaporkan ditempatkan di pusat pemuliharaan haiwan Vantara, India, milik keluarga bilionair Ambani.

Spix’s macaw yang terkenal dengan bulu biru terang serta ritual mengawan unik telah disahkan pupus di alam liar pada 2019.

Iklan
Iklan

Program pembiakan di Brazil sejak itu berjaya mengembalikan sebahagian kecil spesies berkenaan ke habitat semula jadi.

Namun, penghantaran burung berkenaan ke zoo swasta Ambani pada 2023 menimbulkan bantahan Brazil yang menegaskan pihaknya tidak memberi kebenaran.

Iklan

Institut Chico Mendes bagi Pemuliharaan Biodiversiti (ICMBio) menyatakan tiada sebab burung tersebut dipindahkan ke India kerana Vantara bukan sebahagian daripada program rasmi pemuliharaan global spesies itu.

Laporan kastam menunjukkan burung berkenaan diterbangkan dari Berlin ke Ahmedabad dengan kos insurans dan kargo sekitar AS$969 (RM4,050) seekor.

Iklan

Bagaimanapun Vantara menegaskan tiada sebarang pembayaran komersial dilakukan, sebaliknya ia adalah usaha pembiakan bersama dengan pertubuhan Jerman, Association for the Conservation of Threatened Parrots (ACTP).

India minggu ini membersihkan nama Vantara daripada sebarang salah laku selepas siasatan yang diarahkan Mahkamah Agung dengan laporan menyatakan semua permit eksport-import adalah teratur.

Bagaimanapun, pegawai Kesatuan Eropah memberi amaran bahawa mereka akan menilai dengan lebih ketat sebarang permohonan eksport haiwan ke India, khususnya melibatkan Vantara.

Pusat Vantara yang berkeluasan 3,500 ekar di Gujarat menempatkan lebih 2,000 spesies, termasuk zirafah, badak, harimau, cheetah, cimpanzi dan pelbagai reptilia yang diimport dari 40 negara.

Ia dirasmikan pada Mac lalu oleh Perdana Menteri Narendra Modi dan pernah menjadi lokasi sambutan praperkahwinan anak bongsu keluarga Ambani, Anant Ambani yang dihadiri tokoh antarabangsa termasuk Ivanka Trump dan Mark Zuckerberg.

Isu Spix’s macaw kini menjadi perhatian di forum antarabangsa Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES), dengan Brazil, India dan Jerman dijangka membincangkan jalan penyelesaian menjelang mesyuarat November depan.- Agensi