Mayat wanita warga emas ditemukan terapung di Stulang Laut

Iklan
Tangkap layar operasi penemuan mayat warga emas terapung di laut berhampiran Berjaya Waterfront, Stulang Laut pada Sabtu.

JOHOR BAHRU – Mayat seorang wanita warga emas ditemukan terapung di laut berhampiran Berjaya Waterfront, Stulang Laut, di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mayat wanita warga tempatan berusia 73 tahun itu ditemukan pada jam 9.10 malam.

Iklan
Iklan

“Siasatan awal mendapati seorang saksi wanita berusia 36 tahun telah menghubungi pihak polis setelah melihat mangsa terjun ke laut secara tiba-tiba.

“Sebaik mendapat maklumat, sepasukan polis dari Balai Taman Pelangi bersama anggota pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin telah digerakkan ke lokasi.

Iklan

“Pihak bomba kemudiannya berjaya membawa naik mayat ke darat pada jam 9.30 malam,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa lengkap berpakaian dan tiada kesan unsur jenayah ditemukan pada jasadnya.

Iklan

Jelas beliau, kematian mangsa juga telah disahkan oleh pegawai perubatan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Mayat kemudiannya telah dibawa ke Unit Forensik HSA bagi tujuan bedah siasat setelah selesai proses x-ray dan ujian kesihatan.

“Waris terdekat mangsa juga telah dimaklumkan bagi proses pengecaman dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR),” ujarnya.