Fernandes-Casemiro barakan semula Manchester United

Iklan
Fernandes-Casemiro ledak gol buat United di Old Trafford. Foto: Agensi

MANCHESTER United mencatat kemenangan penting 2-1 ke atas Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Old Trafford, hasil jaringan Bruno Fernandes dan Casemiro.

Perlawanan bermula dengan insiden apabila Chelsea kehilangan penjaga gol, Robert Sanchez, yang dilayangkan kad merah seawal minit kelima selepas melakukan terjahan keras ke atas Bryan Mbeumo.

Iklan
Iklan

Situasi itu memaksa pengendali The Blues, Enzo Maresca, melakukan tiga pertukaran dalam 21 minit pertama merupakan rekod paling awal dalam sejarah EPL.

United memanfaatkan kelebihan pemain apabila Fernandes membuka tirai jaringan pada minit ke-18 sekali gus mencatat gol ke-100 bersama kelab itu.

Iklan

Casemiro kemudian menggandakan kedudukan menerusi tandukan pada minit ke-37 hasil gerakan Luke Shaw.

Namun kegembiraan pemain Brazil itu tidak bertahan lama selepas dia dilayangkan kad kuning kedua beberapa minit sebelum rehat.

Iklan

Situasi itu menjadikannya pemain pertama sejak Emmanuel Adebayor pada 2012 yang menjaringkan gol dan dibuang padang dalam separuh masa pertama aksi EPL.

Chelsea cuba bangkit pada separuh masa kedua berjaya merapatkan kedudukan menerusi tandukan Trevoh Chalobah, 10 minit sebelum tamat permainan.

United kelihatan gugup di penghujung perlawanan namun berjaya bertahan dengan baik diketuai kecemerlangan penjaga gol, Altay Bayindir.

Sementara itu, Amorim mengakui kemenangan berkenaan melegakan selepas tekanan meningkat akibat prestasi hambar sebelum ini.

“Kami bermula agresif, malah tanpa kad merah sekalipun kami masih mengawal permainan.

"Separuh masa kedua agak sukar, tetapi pemain menunjukkan keinginan tinggi untuk menang,” katanya.

Dalam pada itu, Maresca pula kecewa dengan kesilapan awal Sanchez yang menjejaskan perancangan juara Piala Dunia Kelab tersebut.

“Permainan berubah selepas kad merah. Lebih baik kami ketinggalan 0-1 selepas lima minit daripada beraksi dengan 10 pemain.

"Semua perancangan hilang sebaik sahaja Robert diarahkan keluar padang. Dia sendiri sedar kesilapan itu,” jelasnya.

Kekalahan ini menyaksikan Chelsea terus buntu di Old Trafford dengan rekod 13 perlawanan liga terakhir tanpa kemenangan rentetan terpanjang menentang mana-mana pasukan dalam sejarah EPL.

LIGA PERDANA INGGERIS

KEPUTUSAN

Liverpool 2-1 Everton

Burnley 1-1 Nottingham Forest

Brighton 2-2 Tottenham Hotspur

West Ham United 1-2 Crystal Palace

Wolverhampton 1-3 Leeds United

Manchester United 2-1 Chelsea

Fulham 3-1 Brentford

 

 

AHAD (21 SEPTEMBER)

Sunderland lwn Aston Villa, 9 malam

Bournemouth lwn Newcastle United, 9 malam

Arsenal lwn Manchester City, 11.30 malam