PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulakan percubaan Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) menggunakan kod QR di laluan kereta di pintu masuk utama negara bermula 22 September ini.
Dalam kenyataan pada Sabtu, KDN menjelaskan percubaan itu akan melibatkan pemeriksaan imigresen menggunakan kod QR yang dijana melalui aplikasi mudah alih MyNIISe.
Iklan
Iklan
“Fasa awal percubaan pada 22 September ini hanya melibatkan laluan kereta di dua pintu masuk utama iaitu Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dengan 16 laluan (8 masuk, 8 keluar) serta Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dengan 12 laluan (6 masuk, 6 keluar),” katanya.
Pengguna perlu memuat turun aplikasi MyNIISe melalui Apple App Store, Google Play Store atau Huawei AppGallery sebelum menjana kod QR sama ada secara individu atau berkumpulan. Kod tersebut kemudiannya perlu diimbas di lorong kereta yang ditetapkan semasa pemeriksaan imigresen.
Menurut KDN, panduan langkah demi langkah turut disediakan melalui poster dan video rasmi di Facebook, Instagram serta TikTok KDN dan NIISe, selain kemas kini berkala di platform media sosial rasmi.
“Setakat 19 September 2025, aplikasi MyNIISe telah dimuat turun lebih 10,000 kali, sekali gus menunjukkan penerimaan awal yang positif,” jelas kenyataan itu lagi.
KDN turut mengalu-alukan maklum balas orang ramai sepanjang tempoh percubaan yang boleh disalurkan melalui e-mel support_myniise@imi.gov.my