JAKARTA – Hanya kerana bertengkar dengan isteri, seorang lelaki bertindak di luar kawalan apabila membakar rumah sewa mereka di Jalan Borobudur, Kavling Tanah Merah, Cakung, Jakarta Timur pada Khamis.
Dalam kejadian itu, isterinya, Siti Nurkalisah, 33, mengalami luka lecur manakala ibu mentuanya, Marniati, 50, cedera ringan ketika cuba menyelamatkan diri.
Ketua Polis Cakung, Komisioner Widodo Saputro berkata, pihaknya kini giat mengesan lelaki terbabit yang melarikan diri selepas insiden berkenaan.
“Kami masih menjalankan siasatan berhubung kaedah kebakaran yang dilakukan oleh suspek. Usaha mengesannya sedang diteruskan berdasarkan keterangan saksi-saksi,” katanya pada Jumaat.
Menurut pasukan kebakaran dan penyelamat Jakarta Timur, kebakaran rumah sewa berkenaan dilaporkan berlaku kira-kira jam 8.32 pagi waktu tempatan oleh penduduk setempat.
Ketua pasukan berkenaan, Abdul Wahid berkata, pasukan mereka tiba di lokasi empat minit kemudian dan berjaya mengawal api dalam tempoh singkat.
“Sebanyak dua jentera bersama 10 anggota dikerahkan. Api dapat dipadam sekitar jam 8.38 secara perlahan-lahan dan seluruh operasi pemadaman selesai jam 8.51 pagi,” jelasnya.
Kerugian akibat kebakaran itu dianggarkan bernilai 15 juta rupiah (RM3,795).
Polis menegaskan siasatan akan diteruskan sehingga lelaki terbabit diberkas, manakala mangsa yang cedera kini sedang menerima rawatan lanjut. -Agensi