PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap agar isu sempadan Thailand-Kemboja yang masih berlarutan dibawa ke meja rundingan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Bersama (JBC).
Anwar berkata, semangat dialog, diplomasi dan persefahaman sesama negara jiran merupakan jalan terbaik bagi memastikan sebarang bentuk pertikaian dapat ditangani dengan baik.
“Semalam saya turut berkesempatan bercakap dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, bagi mendapatkan gambaran serta perkembangan terkini di sempadan Thailand-Kemboja.
“Saya menyeru agar segala isu yang masih belum selesai dibawa ke meja rundingan melalui JBC,” katanya dalam kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Menurut beliau, Malaysia percaya bahawa sebarang pertikaian serantau hanya boleh diselesaikan secara aman melalui kerangka ASEAN.
“Malaysia yakin bahawa semangat dialog, diplomasi dan persefahaman sesama rakan ASEAN adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan sebarang bentuk pertikaian,” ujar beliau.