Aaron-Wooi Yik terbang tinggi ke separuh akhir

Iklan
Aaron-Wooi Yik akan berdepan Satwiksairaj-Chirag di separuh akhir Masters China.

BEREGU badminton lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menepati ramalan apabila melangkah ke separuh akhir Masters China 2025 selepas mengetepikan cabaran pasangan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana, pada aksi suku akhir di Shenzhen Arena, Jumaat.

Gandingan ranking nombor dua dunia itu mempamerkan aksi bertenaga untuk mencatat kemenangan straight set 21-19, 21-18 dalam tempoh hanya 39 minit, sekali gus menoktahkan rekod pertemuan sulung mereka dengan kelebihan 1-0 ke atas wakil Indonesia berkenaan.

Iklan
Iklan

Kejayaan ini juga merupakan penampilan separuh akhir kelapan buat Chia-Soh musim ini, selepas menumbangkan lawan yang pernah mara ke final Seluruh England.

Menanti mereka pada separuh akhir esok ialah seteru lama dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty yang dijangka menghadirkan saingan sengit.

Iklan
Iklan

Sebagai rekod, dalam edisi 2024 di kejohanan sama, langkah beregu kebangsaan itu terhenti di suku akhir selepas tunduk kepada wakil tuan rumah, He Jiting-Ren Xiangyu, 23-25, 21-17, 12-21.