KPDN Perak sita 102 tong gas LPG

Iklan
KDPN Perak bertindak menyita 102 tong LPG dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pantai Kuala Kurau pada Khamis.

PARIT BUNTAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 102 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di Jalan Pantai Kuala Kurau di sini pada Khamis.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan menerusi Ops Gasak 2025 itu dilakukan pada jam 9.34 pagi hasil risikan serta pemantauan selama seminggu oleh anggota penguat kuasa cawangan Parit Buntar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, hasil pemeriksaan di premis berkenaan menemukan sebanyak 102 tong LPG bersubsidi bersaiz 12 kilogram (kg) dan 14 kg yang disimpan tanpa kebenaran.

Tong gas LPG bersubsidi yang disita berukuran 12kg dan 14kg disimpan tanpa keizinan.

Iklan

“Sehubungan itu, pasukan pegawai penguat kuasa KPDN telah mengambil tindakan menyita kesemua tong LPG bersubsidi, sebuah lori dan beberapa dokumen berkaitan.

"Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM31,690.80,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Kamalludin berkata, pemilik premis terbabit disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 1974 kerana menyimpan barang kawalan berjadual tanpa permit.

Menurutnya, jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi badan korporat pula, denda maksimum RM2 juta boleh dikenakan, manakala untuk kesalahan kedua, denda sehingga RM5 juta jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyelewengan barang kawalan bersubsidi.