SHANGHAI - Gara-gara kandungan gurauan melampau yang tular di media sosial, dua remaja berdepan padah apabila diarahkan membayar 2.2 juta yuan (RM1.3 juta).
Tingkah laku menjijikkan itu berlaku di sebuah cawangan hotpot popular di Shanghai pada Februari lalu.
Kedua-dua pelaku dikenali sebagai Tang dan Wu merakamkan perbuatan mereka berdiri di atas meja sambil membuang air kecil ke dalam periuk panas (hotpot) tersebut.
Difahamkan, kejadian itu mencetuskan kecaman meluas meskipun tiada pelanggan yang termakan sup tercemar tersebut.
Restoran itu juga terpaksa memberi ganti rugi dan memulangkan bayaran kepada lebih 4,000 pelanggan yang berkunjung ke cawangan tersebut antara 24 Februari dan 8 Mac lalu.
Selain itu, ia bertindak menggantikan kesemua periuk panas dan melakukan proses pembersihan secara menyeluruh.
Pada mulanya, restoran berkenaan menuntut ganti rugi berjumlah 23 juta yuan (RM13 juta), namun mahkamah memutuskan bayaran balik secara sukarela bukan di bawah tanggungjawab kedua-dua remaja tersebut.
Kes tersebut disifatkan media tempatan sebagai 'peringatan keras' kepada remaja dan ibu bapa serta menekankan akauntabiliti dan akibat daripada aksi berlebihan yang dikongsi di media sosial. - Agensi