Kakitangan Sabah Electricity dihanyut arus deras ditemui lemas

Iklan
Mangsa ditemui lemas di sungai Kampung Liau Laut, Keningau. Foto JBPM Sabah (Gambar kecil: Masedeh.)

KENINGAU - Kakitangan Sabah Electricity yang dilaporkan hilang sejak dua hari lalu akibat dibawa arus deras akhirnya ditemui lemas di sungai Kampung Liau Laut di sini pada Khamis.

Mayat mangsa, Masedeh Rosmin, 35, ditemukan pada jam 6.18 petang oleh pasukan Galen Star yang turut melakukan pencarian bersama pasukan bomba di sepanjang lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau, Severinus@Mohd Nidzam Sainkui berkata, operasi mencari mangsa hanyut dibawa arus banjir di Kampung Nuntunan Apin-Apin, memasuki hari ketiga.

"Ketika kejadian ketiga-tiga mereka cuba menyeberang jambatan, namun dihanyutkan arus deras. Dua daripadanya sempat menyelamatkan diri namun mangsa dibawa arus deras.

Iklan

"Pakaian terakhir mangsa adalah vest Sabah Electricity dan menurut maklumat orang awam pada jam 1.06 pagi Rabu, terlihat kelibat mangsa di Sungai Kepayan, namun mangsa telah dibawa arus deras.

"Tidak lama kemudian, mangsa sekali lagi kelihatan di Sungai Baginda pada jam 1.15 pagi tetapi usaha menyelamat sukar dilakukan akibat arus air terlalu deras," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Susulan itu, Severinus berkata, Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dipindahkan ke Kampung Kaladakan untuk menyelaraskan pencarian.

"Operasi hari ketiga dimulakan pada jam 9 pagi bersama agensi penyelamat lain dan operasi pencarian mangsa dilakukan di Sungai Pagalan iaitu sejauh 40 kilometer radius.

"Fokus pencarian pada hari ini (Khamis) di sekitar Kampung Linsudan kerana terdapat penemuan kasut mangsa berada di sekitar sungai kampung tersebut.

"Jarak dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sekitar 21 kilometer ke Kampung Linsudan. Unit Dron juga digerakkan bagi membantu pencarian pada hari ini. 

"Pada jam 6.18 petang, mangsa telah berjaya ditemui di kawasan sungai Kampung Liau Laut dan pasukan bomba membantu mengangkat mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.