Trump dilayan bak raja

Iklan
Trump (kanan) dibawa menaiki kereta kuda bersama Raja Charles III. Foto Agensi

LONDON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump diiringi Wanita Pertama, Melania mengadakan lawatan negara kali kedua ke Britain yang menerima sambutan bak seorang raja pada Rabu.

Trump menjadi pemimpin politik pertama zaman moden yang diberi kunjungan istimewa itu selepas lawatan pertama beliau pada 2019 dihoskan oleh mendiang Ratu Elizabeth II.

Iklan
Iklan

Beliau bersama Melania turut menghadiri jamuan negara bersama keluarga diraja dan disapa mesra bakal pewaris takhta, Putera William dan isterinya, Kate Middleton di Istana Windsor.

Bilionair hartanah itu juga diberi layanan khas setelah bertemu Raja Charles III apabila dibawa menaiki kereta kuda ke istana tersebut selain menyaksikan upacara Beating Retreat disertai kira-kira 200 askar yang pertama kali diadakan sempena lawatan negara dan disusuli persembahan udara oleh pasukan Red Arrows daripada Tentera Udara Diraja Britain.

Iklan

Trump dalam satu kenyataan memuji hubungan istimewa antara AS dan Britain meskipun pemimpin tersebut menentang keras rancangan Perdana Menteri, Keir Starmer yang mahu mengiktiraf negara Palestin.

“Ikatan persaudaraan dan identiti antara kedua-dua negara ini adalah tidak ternilai. Ia tidak dapat diganti dan tidak dapat dipatahkan,” katanya menerusi ucapan ketika menghadiri jamuan mewah di Istana Windsor.

Iklan

Kehadiran Trump juga tidak disenangi sebahagian besar rakyat negara itu setelah beliau secara terang-terangan bersekongkol dengan perang genosid di Genting Gaza.

Kumpulan penunjuk perasaan anjuran kempen Stop Trump itu dilaporkan berhimpun di tengah London dan turut melaungkan slogan mengutuk Presiden ke-47 AS tersebut dan membawa bendera kebangsaan Palestin. - Agensi