32 kenderaan import RM8.45 juta 'disorok' dalam gudang

Iklan
Wan Norizan (dua dari kiri) menunjukkan antara kenderaan import yang disita JKDM menerusi Op Purple. Foto: JKDM Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita 32 buah kenderaan import tidak berkastam bernilai RM8.45 juta yang disimpan dalam gudang di Damansara, Selangor serta Setapak di sini.

Pengarah Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud berkata, Op Purple itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula 29 Julai hingga 7 Ogos.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kenderaan import itu disimpan melebihi tempoh penyimpanan 48 bulan di gudang berlesen.

"Hasil pemeriksaan rapi telah menemukan sebanyak 32 unit kenderaan import yang disyaki tak berkastam.

Iklan

"Pemeriksaan awal mendapati pemilik gudang berlesen telah gagal mematuhi syarat-syarat dalam lesen di bawah Seksyen 65(2) dan Seksyen 65(5) Akta Kastam 1967 dengan menyimpan kenderaan tersebut melebihi tempoh 48 bulan seperti yang ditetapkan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Antara kenderaan import yang disita JKDM menerusi Op Purple.

Iklan

Beliau berkata, kes masih dalam siasatan dan kegiatan terbabit dipercayai menyalah guna pengecualian duti yang dibenarkan di bawah Seksyen 4 Akta Kastam 1967.

Dalam pada itu, sepanjang lapan bulan tahun ini setakat Ogos, JKDM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut merekodkan sebanyak 353 kes dengan nilai rampasan termasuk duti dan cukai berjumlah RM72.12 juta.

"Kes ini antaranya melibatkan rampasan rokok putih dan kretek, minuman keras, besi import, bunga ganja dan dron," ujarnya.

Tambahnya, sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah ia turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Kata beliau, JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam yang terdekat di semua negeri.