LIPIS – Dua polis bantuan berdepan detik cemas selepas sebuah treler hilang kawalan lalu merempuh pos kawalan di Felda Kechau 8, Kilometer 5, Jalan Bandar Baru–Felda Kechau di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, dalam kejadian kira-kira jam 9.50 pagi itu, seorang polis bantuan, Udan Angah, 23, dan pemandu treler berusia 28 tahun mengalami kecederaan.
Katanya, seorang lagi rakan setugas Udan yang berusia 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut beliau, ketika kejadian, kedua-dua polis bantuan itu berada di dalam pos berkenaan, sementara motosikal serta kereta masing-masing diletakkan di tepi pos kawalan tersebut.
“Hasil siasatan awal mendapati treler tanpa muatan yang dipandu seorang lelaki dari arah Sungai Temau menuju Kuantan hilang kawalan sebelum merempuh pos kawalan dan sebuah kereta,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, kemalangan itu turut menyebabkan atap dan dinding pos kawalan menghempap motosikal milik Udan.
"Kedua-dua mangsa yang cedera menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sehubungan itu, Ismail meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan.
“Polis turut menasihatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati, memandu berhemah serta memastikan kenderaan diselenggara dengan baik demi keselamatan bersama,” katanya.