MASUM 2025 jadi pentas mahasiswa harumkan nama negara

Iklan
Azlinda (tengah) meluangkan masa berswafoto bersama atlet- atlet Universiti Malaysia Kelantan pada Perasmian Karnival MASUM 2025 di UMT.

SERAMAI 2,342 atlet dan pegawai dari 20 universiti awam seluruh negara kini berkampung di Terengganu bagi menyertai Karnival Sukan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) 2025 yang berlangsung dari 15 hingga 20 September ini.

Edisi dwitahunan itu mempertandingkan 10 acara sukan utama iaitu bola tampar, bola tampar pantai, boling padang, sofbol, petanque, catur, pencak silat, taekwondo, memanah dan karate, dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) serta Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) menjadi gelanggang utama kejohanan.

Iklan
Iklan

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr Azlinda Azman berkata, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa komited meningkatkan mutu sukan negara dengan memberi sokongan penuh kepada pembangunan sukan di institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, Karnival Sukan MASUM bukan sekadar medan persaingan, malah platform mencungkil bakat baharu mahasiswa untuk terus mengharumkan nama negara.

Iklan

“Karnival Sukan MASUM merupakan platform terbaik memperlihatkan kebolehan dan potensi mahasiswa bersaing di peringkat lebih tinggi, seterusnya dapat mewakili MASUM dan negara ke pentas antarabangsa.

“Di sinilah peranan universiti, MASUM dan KPT dalam memastikan kecemerlangan atlet tidak terhenti apabila memasuki IPT,” katanya ketika merasmikan kejohanan di UMT, Kuala Nerus.

Iklan

Turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UMT, Profesor Dr Mohd Zamri Ibrahim, dan Naib Canselor UniSZA, Profesor Datuk Dr Fadzli Adam.

Dalam pada itu, Azlinda turut merakamkan penghargaan atas kejayaan atlet MASUM yang cemerlang pada edisi ke-10 Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) dari 1 hingga 7 September lalu.

“Tahniah kepada kontinjen MASUM yang berjaya mengekalkan kejuaraan dengan kutipan 42 pingat emas, 27 perak dan 34 gangsa.

“Lebih membanggakan, atlet MASUM iaitu Jonah Chang dari Universiti Malaya turut memecah rekod kebangsaan dalam acara lontar peluru,” ujarnya. - Bernama