ALOR SETAR – Suasana panik menyelubungi Flat Setia Jaya, Jalan Langgar di sini apabila lapan unit rumah kosong di tingkat empat Blok D musnah dalam kebakaran pada Rabu.
Kejadian berlaku ketika kebanyakan penghuni sedang berehat di rumah termasuk Ketua Majlis Kampung Alor Sekamat, Ramlah Bibi Abdur Rajiman, 52, yang baru selesai menunaikan solat Zohor.
“Saya terdengar jeritan jiran yang memberitahu rumah terbakar di tingkat atas Blok D.
"Bila keluar rumah, saya nampak orang ramai berlari turun tangga dalam keadaan kelam-kabut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Menurut Ramlah, tingkat empat blok berkenaan tidak berpenghuni, namun tingkat satu hingga tiga didiami ramai penduduk.
Menurutnya, ia merupakan kejadian kedua melibatkan kebakaran di blok sama selepas insiden dua tahun lalu yang hanya membabitkan sebuah unit di hujung bangunan.
“Saya dengar bunyi letupan dari tingkat atas sebelum api mula marak. Mujur semua penghuni sempat keluar menyelamatkan diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, Timbalan Penguasa Bomba Ismail Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.21 petang dan tiba di lokasi tidak lama kemudian.
“Seramai 16 anggota dari BBP Alor Setar, BBP Jalan Raja serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dikerahkan ke lokasi. Api berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 1.45 petang,” katanya.
Menurut Ismail, kebakaran melibatkan lapan unit rumah kosong di tingkat atas dan tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan
“Cabaran utama kami ialah bahan terbuang yang mudah terbakar di unit kosong, menyebabkan api merebak dengan cepat.
“Kebanyakan rumah kosong dipenuhi barang tinggalan, malah ada juga laporan mengenai aktiviti kurang sihat di situ,” ujarnya.
Tambah beliau, pihak bomba menggunakan Jentera Aerial Platform Ladder (APL) untuk memadamkan api di tingkat atas yang berketinggian kira-kira 12 meter.
“Kebakaran dianggarkan memusnahkan sekitar 90 peratus struktur unit terlibat. Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.