Kempen #GameOverIsrael

Iklan
Mesej kempen itu 'Persekutuan Bola Sepak: Boikot Israel' yang dipaparkan pada papan iklan gergasi Times Square pada Selasa.

NEW YORK - Komuniti antarabangsa terus menzahirkan solidariti dengan Palestin apabila ia melancarkan kempen #GameOverIsrael menjelang Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat (AS).

Terbaharu, gabungan pertubuhan advokasi dan kumpulan peminat menggesa persekutuan bola sepak Eropah memboikot Israel menerusi mesej dipaparkan pada papan iklan gergasi Times Square di New York pada Selasa.

Iklan
Iklan

Inisiatif #GameOverIsrael dilancarkan Jawatankuasa Kebangsaan Antidiskriminasi Amerika-Arab (ADC) itu menuntut sejumlah negara Eropah termasuk Belgium, England dan Perancis supaya memulaukan pasukan kebangsaan Israel serta pemain mereka dilarang bertanding pada liga domestik sebagai 'hukuman' berikutan perang genosid yang sudah berlarutan selama hampir 24 bulan di Gaza.

Difahamkan, kempen itu turut disokong kumpulan hak asasi manusia, aktivis dan personaliti terkenal.

Iklan

Novara Media yang berpusat di Britain mendedahkan beberapa penyokong kempen itu seperti bekas pemain bola sepak terkenal Perancis, Eric Cantona dan Gary Lineker yang pernah bermain untuk pasukan England.

Selain itu, ia juga disokong bekas Menteri Kewangan Greece, Yanis Varoufakis, aktor Ireland, Liam Cunningham dan artis Britain, Bobbly Vylan.

Iklan

Menurut laporan media, protes yang diselaraskan telah dirancang di sembilan negara Eropah bagi menuntut persekutuan bola sepak mengambil pendirian menentang terhadap kekejaman dilakukan Zionis ke atas penduduk Palestin.

Sementara itu, bekas Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Richard Falk berkata, Israel telah menggunakan sukan dan acara kebudayaan untuk menutup pencabulan undang-undang antarabangsa yang dilakukan mereka.

"Kempen boikot ini adalah sah dan penting dari segi moral. Tindakan berdiam diri sama seperti bersubahat dengan kekejaman," tegasnya. - Agensi

Info:

>Sekurang-kurangnya 774 atlet dan ahli komuniti sukan Gaza terkorban dalam perang genosid sejak lebih 23 bulan lalu.

>Pada bulan lalu, Persatuan Jurulatih Bola Sepak Itali mendesak persekutuan kebangsaan supaya menggantung penyertaan Israel. Tidak lama selepas itu, persekutuan di Norway berjanji untuk menyalurkan hasil kutipan daripada perlawanan kelayakan menentang Israel kepada bantuan kemanusiaan untuk Gaza.

>Pada Isnin, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menuntut Tel Aviv dikecualikan daripada acara sukan antarabangsa.