PEMAIN badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, mempamerkan aksi bertenaga apabila menyingkirkan bintang Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting, pada pusingan pertama Masters China Super 750 di Shenzhen Arena, Khamis.
Pemain ranking ke-22 dunia itu bermula garang dengan menang set pertama 21-19 ke atas Ginting.
Bagaimanapun jagoan Indonesia berkenaan bangkit menang 21-5 untuk mengheret permainan ke set penentuan.
Jun Hao yang mencipta sensasi ke atas Ginting di Terbuka Singapura tahun lalu kembali dengan magis di set ketiga untuk menang 21-10 dalam pertarungan 54 minit.
Kemenangan itu sekali gus menyamakan rekod pertemuan mereka kepada 2-2 selepas empat perlawanan.
Turut melakar kemenangan, beregu campuran nombor tiga dunia, Chen Tang Jie–Toh Ee Wei.
Tang Jie–Ee Wei tidak berdepan masalah menewaskan gandingan Amerika Syarikat (AS), Chen Zhi Yi–Francesca Corbett, 21-12, 21-14 dalam masa 31 minit.
Kemenangan itu menyaksikan Chen–Ee Wei memulakan kempen di Shenzhen dengan langkah kanan, sekali gus mengukuhkan reputasi mereka sebagai juara dunia baru-baru ini.