Figueiredo anggap kekalahan JDT bukan rezeki

Iklan
Figueiredo yakin JDT akan bangkit melakar kemenangan selepas ini. - Foto: Johor Southern Tiges

PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Joao Figueiredo menyifatkan kekalahan 1-2 kepada Buriram United dalam aksi pembukaan Kumpulan A Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Chang Arena pada Selasa sebagai ‘bukan rezeki’ buat skuad Harimau Selatan itu.

Menurut pemain warisan Harimau Malaya itu, skuad kendalian Xisco Munoz telah melakukan persiapan rapi sebelum ke Thailand, termasuk memberikan komitmen tinggi dari aspek taktikal bagi berdepan skuad bimbingan Osmar Loss.

Iklan
Iklan

“Kami membuat persiapan rapi untuk menghadapi Buriram tetapi sememangnya bukan hari yang baik buat JDT.

“Ya, kami agak kecewa selepas tewas pada aksi pertama saingan ACLE.

Iklan

“Apa pun, kami perlu segera bangkit kerana perjalanan masih panjang dan banyak lagi perlawanan menanti. Apa jua kelemahan dalam aksi ini akan segera diperbaiki,” katanya.

Figueiredo turut mengulas mengenai detik malang apabila jaringan awal JDT dibatalkan seawal minit pertama, selain tandukan beliau pada minit ke-60 hanya singgah di palang gol.

Iklan

“Seperti yang saya katakan tadi, semuanya bukan rezeki saya untuk membantu JDT walaupun berhempas pulas memberikan persembahan terbaik.

“Bagaimanapun, saya tidak kecewa kerana nasib ternyata tidak menyebelahi dalam perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu, Figueiredo berkata, kekalahan tersebut diharap dapat dijadikan pengajaran untuk JDT terus berjaya pada masa hadapan.

“Kekalahan ini tidak akan mematahkan semangat kami kerana kami tetap bersatu sebagai satu pasukan dan bukannya mementingkan diri.

“Untuk aksi seterusnya, kami akan menilai semula prestasi dan sudah pasti barisan kejurulatihan akan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang ada,” katanya.