Rosmah gagal singkir hakim kes projek solar

Iklan
Rosmah memakai baju kurung berwarna hijau, gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Rabu untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan.

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Datin Seri Rosmah Mansor gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini pada Rabu untuk menyingkirkan Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan.

Ia membabitkan keputusannya (ketika itu selaku Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur) menjatuhi Rosmah, 74, hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta atas tiga kes rasuah bagi projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Iklan
Iklan

Ketika prosiding, panel tiga hakim dipengerusikan Hakim, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim berkata, berdasarkan notis usul, Rosmah membuat tiga permohonan iaitu perintah supaya Hakim, Mohamed Zaini (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menarik diri daripada mendengar kes solar.

Katanya, isu kedua dan ketiga ialah permohonan supaya keputusan kes solar ditangguhkan dan kes berkenaan dibicarakan semula di hadapan hakim mahkamah tinggi lain.

Iklan

Ketika membaca keputusan penghakiman sebulat suara, Hakim, Ahmad Zaidi berkata, Rosmah gagal menunjukkan kepada mahkamah wujudnya merit dalam rayuan terbabit.

Katanya, Rosmah selaku perayu juga gagal menunjukkan hakim bicara terkhilaf dalam membuat keputusan yang menolak penangguhan keputusan.

Iklan

“Keputusan telah diberikan ekoran daripada penolakan permohonan oleh perayu maka relif ini bersifat akademik.

“Kami setuju dengan hujahan pendakwaan bahawa perayu gagal menunjukkan bahaya sebenar dan berat sebelah di hakim bicara.

“Susulan itu, mahkamah menolak rayuan perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 September 2022,” katanya yang bersidang bersama hakim-hakim Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin.

Pada 1 September 2022, Hakim Mohamed Zaini memutuskan bahawa Rosmah bersalah atas tiga pertuduhan berkenaan dan mengenakan hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun hukuman berjalan serentak, bermakna dia hanya akan menjalani hukuman penjara selama 10 tahun.

Dia juga didenda RM970 juta, dan jika gagal membayar denda itu, Rosmah boleh dihukum penjara selama 30 tahun.

Rosmah didakwa atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan Rosmah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Sebelum ini, peguam, Datuk Jagjit Singh yang mewakili Rosmah memohon agar mahkamah terlebih dahulu mendengar rayuan anak guamnya berhubung keputusan Hakim, Mohamed Zaini yang menolak permohonan isteri bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menggugurkan dirinya daripada mendengar serta mengadili kes solar tersebut.

Permohonan untuk menyingkirkan Hakim Mohamed Zaini dibuat dua hari sebelum keputusan diumumkan, atas alasan penghakiman kes itu didakwa bocor.

Peguam juga memberitahu bahawa pasukan pembelaan telah memfailkan hujahan setebal 700 muka surat untuk rayuan itu.

Dalam prosiding berkenaan selain Jagjit Singh, Rosmah turut diwakili barisan peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader, Azrul Zulkifli Stork dan Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin sementara pendakwaan dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, K Mangai sebagai responden.