HASRAT Aston Villa untuk memulakan kebangkitan awal musim terus malap apabila tersingkir seawal pusingan ketiga Piala Liga selepas tewas 2-4 menerusi penentuan sepakan penalti kepada Brentford di Stadium Komuniti Gtech, pada Rabu.
Perlawanan yang disaksikan 15,895 penonton itu menyaksikan penjaga gol Brentford, Hakon Valdimarsson, muncul wira The Bees selepas menebus kesilapan sendiri ketika aksi sebenar.
Penjaga gol antarabangsa Iceland itu hampir menjadi punca kekalahan selepas melakukan kesilapan mudah apabila gagal menangkap kemas rembatan lemah Harvey Elliott yang melepasi celahan tangan dan kakinya untuk membolehkan Villa mendahului.
Namun, pemain berusia 23 tahun itu bangkit mempamerkan aksi cemerlang dalam penentuan penalti, menyelamatkan sepakan John McGinn dan Matty Cash sebelum Mikkel Damsgaard memastikan kemenangan Brentford dengan penalti keempat yang sempurna.
Gol Elliott yang juga jaringan pertama Aston Villa musim ini selepas lebih lapan jam tumpul dalam semua pertandingan sebenarnya dihadiahkan kesilapan pemain Brentford sendiri apabila Vitaly Janelt terperangkap ketika cuba membina serangan dari bawah.
Namun, kegagalan Villa menyekat ancaman ‘senjata rahsia’ Brentford kembali memakan diri menerusi satu lontaran jauh sekali lagi menjadi punca mereka dihukum kali ini menerusi voli Aaron Hickey pada minit ke-57.
Hickey yang hampir dua tahun disisihkan akibat kecederaan menyumbat gol pertamanya sejak April 2022 (ketika bersama Bologna) selepas Villa gagal menyapu bersih lontaran ke dalam lawan.
Kekalahan ini merupakan kali keempat dalam lima musim terakhir Aston Villa tersingkir pada aksi pertama mereka dalam Piala Liga, menambah tekanan ke atas skuad kendalian Unai Emery yang masih gagal mencatat sebarang kemenangan dalam semua pertandingan musim ini.
Lebih mengecewakan, walaupun mencatatkan lebih banyak percubaan dan menguasai permainan pada penghujung aksi Villa tetap gagal menamatkan kemarau kemenangan musim ini.
Dalam reaksi selepas perlawanan, Emery tetap melihat sisi positif daripada persembahan pasukannya, terutama melibatkan beberapa pemain baharu yang diturunkan dalam kesebelasan utama.
“Kami menunjukkan peningkatan dan berjaya menjaringkan gol, itu penting.
“Kami mencipta peluang untuk menang dan saya rasa kami layak mendapat sesuatu. Semangat yang ditunjukkan hari ini adalah semangat Semangat yang ditunjukkan hari ini adalah semangat yang saya mahukan.
“Pemain-pemain baharu yang menyertai pasukan pada saat akhir jendela perpindahan memerlukan masa dan minit permainan. Mereka bermain dengan baik dan mula serasi dengan struktur kami.
“Saya hargai sokongan penyokong kami yang tetap hadir dan memberi semangat. Walaupun kecewa, kami masih dalam landasan dan akan terus memperbaiki kelemahan,” katanya.
Emery kini menumpukan perhatian kepada aksi seterusnya menentang Sunderland hujung minggu ini, dalam misi menamatkan permulaan suram yang membelenggu The Villans musim ini.
PIALA LIGA
Keputusan
Pusingan Ketiga
Sheffield Wednesday 0-1 Grimsby Town
Brentford 1-1 Aston Villa
- Brentford menang 4-2 penentuan sepakan penalti
Crystal Palace 1-1 Millwall
- Crystal Palace menang penentuan sepakan penalti 4-2