Sze Fei-Nur Izzuddin cemas sebelum berjaya ke pusingan kedua

Iklan
Sze Fei (kanan) dan Nur Izzuddin berjaya mara ke pusingan kedua Masters China. Foto AFP

BEREGU lelaki negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani cemas sebelum berjaya mengesahkan kemaraan ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Masters China di Arena Shenzhen pada Selasa.

Pasangan negara yang menghuni ranking ketiga dunia itu bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menundukkan gandingan Indonesia, Rian Ardianto-Yeremia Rambitan dalam pertarungan tiga set.

Iklan
Iklan

Sze Fei-Izzuddin tewas 12-21 pada set pertama namun bangkit memperkemas permainan untuk mencatat kemenangan 21-11 di set kedua dan menoktahkan aksi dengan kemenangan tipis 22-20 pada set penentuan.

Kejayaan itu sekali gus memberikan rentak positif kepada gandingan negara itu selepas terkandas di pusingan awal dalam tiga kejohanan terakhir iaitu Terbuka China, Kejohanan Dunia dan Terbuka Hong Kong.

Iklan

Mereka akan berdepan pasangan Taiwan, Lee Jhe-Huei-Yang Po-Hsuan di pusingan kedua, yang sebelum itu menewaskan beregu Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh.

Sementara itu, satu lagi wakil negara iaitu beregu campuran, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut melangkah ke pusingan kedua selepas menewaskan rakan senegara, Wong Tien Ci-Lim Chiew Sien, 21-17, 21-12.

Iklan

Beregu campuran ranking kelapan dunia itu akan menentang pasangan Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan pusingan seterusnya pada Khamis.

Dalam pada itu, beregu lelaki negara, Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong terkandas di pusingan pertama selepas tewas kepada gandingan Taiwan, Lee Fang Chih-Lee Fang Jen dengan keputusan 21-12, 18-21, 21-12.