Penunggang motosikal maut diseret pacuan empat roda 40 meter

Iklan
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal ditunggang terbabit nahas melibatkan tiga kenderaan di Jalan Bera-Mayam pada Selasa.

BERA - Seorang penunggang motosikal maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 7, Jalan Bera-Mayam di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, dalam nahas kira-kira jam 7.45 pagi itu, mangsa dipercayai diseret sejauh 40 meter selepas bertembung dengan sebuah pacuan empat roda sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Iklan
Iklan

Menurutnya, setakat ini identiti mangsa belum dikenal pasti memandangkan tiada sebarang dokumen diri ditemui dalam dompetnya.

"Pemandu dua kenderaan pacuan empat roda masing-masing berusia 23 dan 26 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.

Iklan

Zulkiflee berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal bersendirian dipercayai dalam perjalanan dari arah Bera menghala ke Mayam.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan lalu bertembung dengan kenderaan jenis Mitsubishi Triton dipandu seorang kontraktor berusia 26 tahun.

Iklan

"Akibat perlanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kepala, tangan dan kaki disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Tambah beliau, sebuah kenderaan jenis Isuzu D-Max turut terlibat apabila tayarnya pecah selepas melanggar serpihan motosikal mangsa.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bera untuk proses bedah siasat.

"Usaha mengesan waris bagi membantu mengenal pasti identiti lelaki yang mempunyai tatu pada bahagian perut itu masih dijalankan," jelasnya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.