[VIDEO] Lebih 3,000 pengunjung teruja lihat perarakan gajah jinak, Sanum dan Chery

Iklan

KOTA BHARU - Suasana di pusat bandar di sini bertukar riuh dengan sorakan lebih 3,000 pengunjung sejurus melihat kemunculan dua ekor gajah dikenali sebagai Sanum dan Chery dalam perarakan sempena Sambutan Hari Malaysia pada Selasa.

Orang ramai mula membanjiri laluan sepanjang 1.2 kilometer dari tempat letak kereta Dataran Masjid Muhammadi menuju ke Istana Balai Besar untuk menyaksikan kelibat haiwan jinak berkenaan.

Iklan
Iklan

Sorakan orang ramai bergema apabila dua ekor gajah, Sanum dan Chery muncul dalam perarakan sempena Sambutan Hari Malaysia di Bandar Kota Bharu pada Selasa. Gambar kecil: Mohamad Safaruddin, Ainul Hakimah, Mazlini

Golongan kanak-kanak turut teruja melambai tangan, malah ada yang menjerit kegirangan sambil merakam gambar dan video. Ada juga yang mengibarkan Jalur Gemilang mengiringi perjalanan Sanum dan Chery, menambah kemeriahan suasana.

Iklan

Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamad Safaruddin Ismail berkata, perarakan itu diadakan hasil kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang ‘meminjamkan’ dua gajah tersebut bagi memeriahkan sambutan.

Mohamad Safaruddin (tiga dari kanan) bersama mereka mereka yang berbusana Melayu tradisional mengiringi perarakan Sanum dan Chery sempena Sambutan Hari Malaysia di Bandar Kota Bharu pada Selasa.

Iklan

"Sebanyak 20 pengawal istana lengkap dengan lembing turut mengiringi perarakan bersama mereka yang berbusana Melayu tradisional.

"Orang ramai juga turut sama menyertai perarakan ini dan menjadikan suasana lebih meriah," katanya kepada pemberita semasa sidang akhbar.

Menurut beliau, sebelum ini perarakan Sanum dan Chery pernah diadakan pada 3 September lalu, namun kerana ia berlangsung pada hari bekerja, ramai tidak berkesempatan untuk menyaksikannya.

Katanya, selepas mendengar rungutan orang ramai, perarakan itu dianjurkan sekali lagi sempena cuti umum Hari Malaysia.

Lebih 3,000 pengunjung membanjiri laluan sepanjang 1.2 kilometer dari tempat letak kereta Dataran Masjid Muhammadi menuju ke Istana Balai Besar bagi menyaksikan kelibat haiwan jinak berkenaan.

Seorang pengunjung, Ainul Hakimah Md Yusof, 30, dari Pasir Puteh berkata pengalaman melihat gajah depan mata buat pertama kali cukup mengujakan.

“Selama ini hanya tengok dalam televisyen, hari ini dapat lihat sendiri depan mata. Kebetulan cuti umum, jadi saya datang dengan kawan-kawan untuk sama-sama rasai pengalaman ini,” katanya.

Bagi Mazlini Marzuki, 34, dari Kota Bharu pula, kehadiran perarakan itu memberi peluang kepada dua anaknya berusia tujuh dan lima tahun menyaksikan gajah secara dekat.

Katanya, anak-anak yang meminta hendak tengok gajah, jadi dia dan suami penuhi keinginan mereka.

“Bila lihat wajah anak-anak teruja, kami pun rasa seronok. Kebetulan acara ini diadakan berhampiran rumah dan jatuh pada cuti umum. Memang berbaloi datang, meriah sangat,” ujarnya.