Remaja positif dadah ditahan aksi samseng jalanan

Iklan
Remaja yang ditahan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut. Foto ihsan PDRM

PASIR PUTEH – Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal dalam operasi khas Op Samseng Jalanan di Jalan Melawi-Kuala Besut, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintenden Zaizul Rizal Zakaria berkata, operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPTD) bermula pada jam 1.30 pagi hasil maklumat awam.

Iklan
Iklan

“Sepasukan anggota berjaya menahan seorang lelaki yang menunggang motosikal dengan aksi berbahaya sehingga mengundang risiko kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Iklan

Beliau berkata, remaja berusia 19 tahun itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan berbahaya.

Menurutnya, pihak polis akan terus memperhebat operasi di beberapa lokasi panas sekitar Pasir Puteh bagi mengekang aktiviti samseng jalanan dan lumba haram.

Iklan

“Polis menasihatkan orang awam supaya tidak terlibat dalam sebarang aktiviti menunggang motosikal secara berbahaya dan mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan bersama,” katanya.