EAIC lancar 'Jerat' sempena Hari Malaysia, angkat mesej integriti

Iklan
EAIC dengan kerjasama FINAS mempersembahkan Pesanan Khidmat Awam (PKA) terbaharu bertajuk JERAT sempena sambutan Hari Malaysia ke-62.

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) mempersembahkan Pesanan Khidmat Awam (PKA) terbaharu bertajuk JERAT sempena sambutan Hari Malaysia ke-62.

PKA itu menekankan bahaya salah guna kuasa selain mengangkat mesej integriti sebagai benteng utama dalam mempertahankan maruah dan kedaulatan negara.

Iklan
Iklan

Menggunakan pendekatan dramatik, JERAT menyingkap sisi gelap penyalahgunaan kuasa serta kesannya terhadap masyarakat.

Pengerusi EAIC, Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata penerbitan tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan EAIC mendidik masyarakat mengenai pentingnya integriti, khususnya dalam kalangan anggota penguat kuasa.

Iklan

"Melalui penceritaan dramatik dalam JERAT, kami berharap mesej ini lebih dekat dengan hati masyarakat agar kita semua sedar betapa besar akibatnya apabila kuasa disalahgunakan.

"Sempena Hari Malaysia ke-62, penerbitan itu turut menjadi peringatan bahawa perpaduan dan kemerdekaan hanya akan bermakna sekiranya didukung dengan integriti di semua peringkat masyarakat," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

PKA JERAT mula ditayangkan hari ini, 16 September 2025, jam 12 tengah hari melalui YouTube FINAS Malaysia, RTM, Astro, Media Prima serta beberapa platform lain termasuk radio dan saluran digital.

Dengan kerjasama erat EAIC dan FINAS, mesej berkenaan diharap dapat disebarkan secara lebih meluas sekali gus mengingatkan rakyat agar menolak salah laku serta mengangkat nilai integriti demi masa depan negara.