Pengawal keselamatan maut diserang rakan

Iklan
Seorang pengawal keselamatan maut selepas diserang rakannya menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan di sebuah kawasan perumahan di Semenyih pada Isnin. Gambar hiasan

KAJANG – Seorang pengawal keselamatan maut selepas diserang rakannya menggunakan senjata tajam dalam pergaduhan di sebuah kawasan perumahan di Semenyih pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan kira-kira jam 1.13 pagi daripada seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pemandu lori itu turut cedera di bahagian jari selepas terkena senjata tajam ketika berlaku perselisihan faham dengan rakan-rakan semasa mereka minum minuman keras di sebuah padang kawasan perumahan.

"Selepas insiden tersebut, lima individu yang berada di lokasi beredar. Bagaimanapun, sekitar jam 4.30 pagi, rakan kepada pengadu yang tidak berpuas hati pergi mencari lelaki yang mencederakan pengadu di deretan rumah kedai di Semenyih.

Iklan

"Sebaik tiba, seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan diserang dengan senjata tajam sehingga mengalami kecederaan di tangan dan badan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Katanya, mangsa dikejarkan ke hospital dengan bantuan rakan-rakan namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian.

Iklan

"Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kajang untuk proses bedah siasat.

"Susulan itu, polis menahan lima lelaki tempatan berusia 31 hingga 37 tahun yang dipercayai terbabit bersama beberapa barang rampasan," ujarnya.

Menurutnya, semakan mendapati empat suspek ditahan mempunyai rekod jenayah dan dadah, selain mangsa juga turut didapati memiliki tujuh rekod jenayah lampau.

"Kesemua suspek direman untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.