SYDNEY - Seorang bayi perempuan dilaporkan meninggal dunia manakala seorang kanak-kanak cedera parah dalam kemalangan di barat daya Sydney, Australia.
Pasukan kecemasan dihubungi dan bergegas ke lokasi kejadian iaitu tempat letak kereta di pusat beli-belah Minto kira-kira jam 3.30 petang Isnin, selepas kedua-dua mangsa dilanggar sebuah kereta.
Bayi berusia lima bulan itu diberi bantuan awal pernafasan (CPR), tetapi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kanak-kanak berusia lima tahun pula dibawa ke Hospital Kanak-Kanak Westmead dalam keadaan serius, namun stabil.
Pemandu kereta, seorang wanita berusia 35 tahun, bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis memaklumkan bahawa wanita itu dikenali oleh kedua-dua kanak-kanak berkenaan, namun status hubungan masih belum dipastikan.
NSW Ambulance menjelaskan tujuh unit ambulans dikerahkan untuk membantu, termasuk seorang doktor dan pasukan paramedik rawatan kritikal yang diterbangkan ke lokasi.
Kawasan kejadian dikawal ketat kerana siasatan lanjut sedang dijalankan.
Seorang saksi bernama Debbie yang berada di kawasan itu berkata, bayi tersebut berada di dalam kereta sorong ketika dilanggar.
“Apa yang saya nampak hanya paramedik, saya fikir ada empat ambulans dan banyak kereta polis di lokasi kejadian,” ujarnya. - Agensi