Covid-19: MAIWP lulus peruntukan zakat asnaf, keperluan perubatan

Iklan
Suasana di sekitar ibu kota antaranya di kawasan Masjid India dan Jalan Tuanku Abdul Rahman yang kebiasaannya sesak pada hujung minggu kelihatan lengang. -Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meluluskan peruntukan zakat bagi menyantuni asnaf dan menampung keperluan perubatan di hospital.

Pengerusinya, Datuk Seri Syed Hussien AlHabshee berkata, ia selaras dengan seruan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad agar kebajikan asnaf sentiasa dipelihara sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, MAIWP telah meluluskan bantuan tambahan zakat khas kepada 24,196 orang asnaf di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

"Setiap asnaf akan menerima RM500 dan penyaluran bantuan ini akan melibatkan perbelanjaan dana zakat keseluruhan sebanyak RM12.1 juta yang akan disalurkan awal April ini.

Iklan

"MAIWP sebelum itu telah mempercepatkan penyaluran Bantuan Zakat Kewangan Bulanan bagi bulan Mac pada 19 hari bulan kepada bilangan penerima yang sama dengan perbelanjaan sebanyak RM9.67 juta. Bantuan bulanan pada kebiasaannya disalurkan pada setiap 25 hari bulan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bagi menampung keperluan peralatan kesihatan dan perubatan di hospital ekoran Covid-19, pihaknya telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.27 juta yang akan disalurkan kepada tujuh buah hospital di Wilayah Persekutuan.

Iklan

"Bantuan yang diberikan berbentuk peralatan pernafasan seperti BIPAP Machine (ICU) bernilai RM80,000 setiap satu, ventilator ICU bernilai RM150,000 seunit, home ventilator bernilai RM90,000 seunit dan peralatan-peralatan lain yang bernilai antara RM5,000 hingga RM20,000 setiap satu.

"MAIWP dari masa ke semasa akan sentiasa melihat keperluan yang timbul bagi menyantuni semua pihak yang mengalami kesukaran semasa tempoh Covid-19 ini selari dengan misi #musaadahCovid-19. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada para pembayar zakat di Wilayah Persekutuan. Dengan zakat yang dibayar, asnaf di Wilayah Persekutuan dapat disantuni sebaik mungkin terutamanya ketika berhadapan situasi Covid-19 ini,” katanya lagi.