PASANGAN pengantin baharu, Fattah Amin, 35, dan Amira Othman, 32, sekali lagi mencuri tumpuan warganet apabila sesi siaran langsung mereka di TikTok mencatat 36.1 juta tanda suka serta lebih 150,000 tontonan setakat jam 9.40 malam, Isnin.
Lebih menarik, pasangan selebriti itu kelihatan mesra berpegangan tangan sambil melayan komen peminat yang membanjiri ruangan siaran langsung tersebut.
Amira membuat siaran langsung itu melalui akaun TikToknya sambil mempromosikan produk kecantikan dan minuman bersama suami tercinta di atas pelamin.
Ketika siaran langsung itu, Amira turut mencuba dan meletakkan serum pada bahagian atas tangan Fattah.
Rata-rata peminat memuji kemanisan pasangan baharu itu yang bukan sahaja mesra, malah mengucapkan selamat pengantin baharu kepada pasangan popular terbabit.
Lebih manis, pasangan itu sempat saling berpandangan selepas peminat di ruangan komen mengusik wajah mereka yang dikatakan seiras.
Fattah kemudiannya menerima kejutan apabila diberi kek dua tingkat sempena ulang tahun kelahirannya yang diraikan ketika siaran langsung berlangsung.
Pasangan itu kemudian bersama-sama memotong kek sebelum Amira menyuap kek ke mulut Fattah.
Pada Ahad lalu, pelakon popular itu sah bergelar suami kepada Amira dengan sekali lafaz pada majlis pernikahan yang berlangsung penuh indah di Golden Palm Tree Resort, Sepang.
Majlis akad nikah yang disempurnakan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri itu dihadiri kira-kira 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga serta kenalan rapat pasangan berkenaan.
Mengangkat tema Islamik Al-Zauj yang membawa maksud “dua jiwa dipertemukan oleh Allah”, majlis tersebut mengetengahkan suasana senja dengan konsep sederhana namun sarat makna, selari dengan hasrat kedua-dua mempelai untuk menjadikan hari istimewa mereka sebagai simbol penyatuan penuh keberkatan.